BAHAYA GELAK KETAWA

BAHAYA GELAK KETAWA

Gelak ketawa dilarang Islam. Menurut pandangan Islam, bergelak
tertawa adalah tidak baik dan makruh hukumnya. Ibn Mas’ud
meriwayatkan dari Auf bin Abdullah bahawa biasanya Rasulullah
S.A.W. tidak tertawa melainkan senyum simpul dan tidak suka
melerek, iaitu tidak menoleh, kecuali dengan semua wajahnya.
Hadis itu menunjukkan bahawa senyum itu sunat dan tertawa
berbahak- bahak adalah makruh.

Maka itu seseorang yang sihat akal dilarang bergelak tertawa
kerana mereka banyak bergelak ketawa di dunia akan banyak
menangis di akhirat. Orang yang banyak menangis di dunia
mereka akan banyak tertawa di syurga.

Menurut Yahya bin Muaadz Ar-razi, ada empat perkara yang
menghilangkan tertawa seseorang Mukmin :-

(1) Kerana memikirkan akhirat

(2) Kesibukan mencari keperluan hidup

(3) Risau memikirkan dosa

(4) Apabila tibanya musibah dan bala.

Jika seseorang sibuk memikirkan perkara itu, maka dia tidak
banyak tertawa kerana banyak tertawa bukan sifat seorang
Mukmin. Seperti yang diriwayatkan oleh Ibn Abbas r.a. "Sesiapa
yang tertawa ketika membuat dosa, maka dia akan menangis
ketika akan masuk neraka."

Dalam satu riwayat yang lain, dikemukakan bahawa Imam Abu
Hanifah pernah tertawa satu kali apabila dia menang berdebat
dengan Amr bin Abaid Alqadari (seorang bermazhab Qadariah yang
tidak percaya kepada takdir Allah). Selepas tertawa, Imam Abu
Hanifah sangat menyesal lalu berkata: "Engkau berbicara
tentang ilmu, aku tertawa, maka aku tidak akan berkata-kata
kepadamu untuk selama-lamanya, maka aku sangat menyesal, sebab
andainya aku tidak tertawa nescaya aku dapat menundukkannya
dengan kefahamanku, sehingga menjadi kebaikan bagi ilmu."

Menurut Islam, sesiapa yang meninggalkan bergelak tertawa akan
mendapat darjat yang tinggi di sisi Allah. Sabda Rasulullah
S.A.W. yang bermaksud: "Dan siapa yang meninggalkan senda
gurau diberi wibawa dan keindahan, dan siapa yang meninggalkan
tertawa, maka ia berwibawa dan hebat, dan siapa yang tidak
menginginkan kekayaan orang maka ia dicintai." (Hadis Sahih).

Islam juga melarang seseorang melakukan sesuatu atau berkata
sesuatu untuk mentertawakan orang lain atau menyebabkan orang
lain tertawa.Contohnya ialah seperti berlawak jenaka di mana
seseorang akan berlagak dan mengeluarkan kalimah yang
menyebabkan orang lain tertawa.

Menurut riwayat dari Ibrahim Annakhari beliau berkata:
"Adakalanya seseorang mengeluarkan satu kalimah untuk
mentertawakan orang di sekitarnya, maka Allah S.W.T. murka
padanya lalu murka Allah itu merata kepada orang-orang yang di
sekitarnya, yang tertawa bersamanya. Jika seseorang yang
berkata kalimah yang direda oleh Allah, maka ia mendapat
rahmat dan rahmat Allah itu diperolehi juga oleh orang di
sekitarnya."

Seseorang yang suka berlawak, berjenaka atau berolok-olok
supaya orang lain tertawa, balasannya di akhirat ialah
dimasukkan ke neraka ‘‘Wail’’. Sebagaimana sabda Rasulullah
S.A.W. yang bermaksud: "Neraka wail itu buat orang yang
bercakap-cakap dengan berdusta dan berolok- olok supaya
menimbulkan tertawa pada orang ramai, dan neraka wail itu
untuk dia." (Hadis dikeluarkan oleh Imam yang tiga: Riwayat
Bahaz bin Hakim).

Dalam Hadis itu Rasulullah S.A.W. mengulang kalimah "neraka
wail itu untuk dia" sebanyak dua kali, membuktikan tegas dan
kuatnya amaran terhadap orang yang suka bergelak tertawa dan
berjenaka. Islam memberi peringatan bahawa semakin kuat hilai
dan tertawa seseorang itu, semakin hampir iblis dan syaitan
sambil tertawa berbahak-bahak menari-nari untuk melalaikan
dia.

Maka itu kita perlu awas daripada bergelak tertawa kerana
perbuatan itu mengandungi lapan bahaya :-

(1) Dicela oleh ulama dan orang yang sopan serta sempurna
akal.

(2) Memberanikan orang bodoh kepada kita.

(3) Jika bodoh akan bertambah kebodohannya, jika alim akan
berkurangan ilmunya kerana seorang alim yang tertawa bererti
telah memuntahkan ilmunya.

(4) Melupakan dosa-dosa yang lalu.

(5) Melupakan mati dan akhirat.

(6) Berani berbuat dosa kerana apabila tertawa nescaya akan
membekukan hati.

(7) Menanggung dosa orang yang tertawa kerana tertawaan kita.

(8) Akan banyak menangis di akhirat.

Sabda Baginda saw : "Banyak ketawa itu mematikan hati dan
melalaikan daripada mengingati akhirat dan mempusakai marah
dalam hati".
0 Responses