1431H: KEMULIAAN MUHARAM

Bulan Muharam adalah permulaan tahun baru Hijrah bagi umat Islam. Pada bulan ini, umat Islam akan mengenang peristiwa hijrah Nabi Muhammad s.a.w. dari Mekah ke Madinah dalam usaha baginda mengembangkan dakwah Islam.

Dalam bulan ini juga Rasulullah s.a.w. memberitahu mengenai kelebihan berpuasa dan juga kelebihan bulan Muharam itu sendiri sebagai bulan di mana Allah telah mengampunkan dosa orang-orang terdahulu dan akan mengampunkan dosa orang-orang yang masih hidup yang bertaubat kepada-Nya.

Sewajarnya umat Islam diingatkan untuk melakukan puasa sunat seperti yang dilakukan oleh Baginda dan umat terdahulu bagi merebut ganjaran pahala yang dijanjikan oleh Allah s.w.t. terutamanya pada 9 dan 10 Muharam. Rasulullah bersabda yang bermaksud:

"Kalaulah aku masih hidup pada tahun hadapan, maka aku akan berpuasa pada hari ke sembilan. - Riwayat Muslim."

"Nabi s.a.w. berpuasa pada hari Asyura dan memerintahkan (mereka) berpuasa padanya. - Riwayat Bukhari & Muslim."

Antara hikmah disunatkan berpuasa pada hari Tasu'a (تاسوعاء) di samping hari Asyura (عاشوراء) ialah:
  1. Untuk berjaga-jaga bimbang berlakunya kesilapan pada menetapkan awal bulan.
  2. Membezakan diri dengan orang Yahudi kerana mereka berpuasa pada hari ke-10 sahaja. Oleh itu disunatkan bagi orang yang tidak berpuasa Tasu'a (9 Muharam) bersama dengan Asyura (10 Muharam) agar berpuasa pada hari ke-11.
Berikut ialah peristiwa-peristiwa penting yang telah berlaku pada 10 Muharam:
  1. Allah menerima taubat Nabi Adam a.s.
  2. Bahtera Nabi Nuh terdampar di Bukit Judi.
  3. Kelahiran Nabi Ibrahim a.s.
  4. Allah menyelamatkan Nabi Ibrahim daripada api (kejahatan Raja Namrud).
  5. Kisah Nabi Sulaiman dikembalikan kekuasaannya.
  6. Penyakit Nabi Ayub a.s. disembuhkan oleh Allah.
  7. Allah mengangkat Nabi Isa ke langit.
  8. Nabi Yusuf a.s. keluar dari penjara.
  9. Nabi Musa diselamatkan oleh Allah daripada kekejaman Firaun.
  10. Peristiwa Nabi Idris a.s. diangkat ke langit daripada lapisan langit keempat dalam peristiwa Isra' dan Mi'raj
Mudah-mudahan dengan kedatangan tahun baru hijrah ini kita menyambutnya dengan pelbagai amalan untuk mendekatkan diri kepada Allah s.w.t. selain menjadi titik mula bagi diri kita untuk berubah kepada yang lebih baik. Insya-Allah.

SALAM MA'AL HIJRAH 1431 H.
0 Responses