TIDAK ADA KEBAIKAN YANG SIA-SIA

“Apa gunanya saya membaca al-Quran tetapi tidak memahaminya?”Tanya seorang murid.
“Bacalah dahulu perlahan-lahan nanti tok akan ajar maknanya,”jawab gurunya.
Murid itu pun terus membaca.Hari demi hari.Bulan demi bulan.Lama kelamaan dia berasa jemu dan datang menemui gurunya semula.

“Tok saya masih berasa usaha membaca tanpa memahami makna al-Quran ini sesuatu yang tidak berfaedah,”katanya.

“Baiklah.Tok akan menyuruh kamu melakukan pekerjaan yang lebih bermakna ,”kata Tok guru tersebut.Wajah murid itu kembali ceria.

Tok guru menyerahkan sebuah raga dan berkata “Kamu cedok air di sungai itu dengan raga ini,dan curahkan airnya ke dalam kolah madrasah kita.”

Si Murid kehairanan.Mesti ada sesuatu yang luar biasa akan berlaku,detik hatinya.Dia ke sungai dan mencedok air dan secara tergesa-gesa dia berlari untuk menuangkan air ke dalam kolah.Namun sebaik sampai air telah habis,menitis keluar dari celah-celah raga yang jarang itu.Begitulah yang dilakukan berulang-ulang kali.Air masih keluar dari raga dan kolah masih tidak dapat dipenuhi.

“Tok perbuatan ini lebih tidak bermakna.Kalau tok gantikan raga ini dengan timba,barulah ia boleh menampung air dan kolah akan penuh!”

Tok guru tersenyum.”Setiap yang tok suruh pasti ada maknanya,”katanya perlahan.
“Apa maknanya Tok?”

Menimba air dengan raga samalah dengan membaca al-Quran walaupun tidak memahami maknanya,”jawab tok guru.

“Sama-sama tidak ada faedahnya.Begitu?”
“Tidak,sama-sama ada faedahnya,”pintas tok guru.

Anak muridnya jadi lebih hairan.

Cuba kamu tengok raga yang kamu gunakan sejak tadi.Mulanya ia kotor ,tetapi sekarang bukankah sudah bersih?Walaupun air kolah tidak penuh tetapi raga yang kamu gunakan sudah bersih.Betul tak?”

“Betul Tok,”jawab anak murid mengiakan.

Begitulah juga hati kamu ketika membaca al-Quran berulang-ulang kali.Walaupun belum memahami maknanya,paling tidak hati itu akan dibersihkan daripada kelalaian dan gangguan syaitan.

Muridnya mengangguk.Hebat rupanya Tok Gurunya mendidik,bukan sekadar mengajar.


PENGAJARAN:Jangan memandang remeh sesuatu amalan baik,walaupun sekiranya kita belum nampak manfaat atau hikmahnya.Dan jangan tergopoh untuk ‘meningkat’ dalam perjalanan menjadi hamba Allah yang baik dengan tindakan-tindakan yang melanggar ketertiban amal dan kehalusan adab.Ingat setiap yang baik pasti ada kebaikannya.


Islam Untuk semua...
0 Responses