Sejarah SMM

Sejarah SMM

Akronim SMM adalah Solidariti Mahasiswa Malaysia. Pertubuhan tersebut lebih bersifat forum yang menggabungkan pelbagai pertubuhan sama ada rasmi atau tidak rasmi di peringkat kampus dan lapangan masyarakat.

Gaya pergerakkan pertubuhan tersebut juga agak unik dan boleh dikaji bersama. Antara keunikan pertubuhan tersebut adalah ianya tidak bergerak di peringkat kampus; tetapi bergerak di pentas nasional dan global.

Menurut Sdr. Mohd Khoirol Anwar bin Mat Zuki, pertubuhan tersebut ditubuhkan pada Mac 2004.

Penubuhan SMM sebenarnya adalah suatu lanjutan atau kesinambungan pada aktivitisme dan aspirasi Gerakan Mahasiswa Mansuh ISA (GMMI) – tahun 2001/02; dan Gerakan Mahasiswa Anti Peperangan (GEMPAR) – tahun 2002/03.

Antara faktor pendesak pada penubuhan SMM pada ketika itu adalah demi mendepani Pilihanraya Umum Ke-11 Malaysia.

Menurut aktivis-aktivis mahasiswa pada ketika itu, mahasiswa seharusnya tampil sebagai independent groups, pressure group, check and belance, watchdog bagi pihak masyarakat ke atas kerajaan dan semua parti politik; termasuk parti-parti alternatif/pembangkang.

Oleh kerana pertubuhan tersebut lebih bersifat multy-velues, maka pelbagai nama pertubuhan tersebut seharusnya melambangkan citarasa bersama. Terdapat beberapa nama cadangan pada ketika itu.

Pertama, pertubuhan tersebut patut dinamakan Malaysian Student Association (MSA) sempena memperingati cita-cita asal penubuhan ASEAN Student Association (ASA) di Kuala Lumpur pada era 1960an; tetapi telah digagalkan oleh Perdana Menteri Malaysia pada ketika itu. Akhirnya ASA telah dipindahkan operasinya ke Hong Kong.

Kedua, pertubuhan tersebut patut dinamakan Pertubuhan Kebangsaan Pelajar Malaysia (PKPM). Cadangan tersebut bertitik tolak pada hasrat menghidupkan semula fungsi PKPM yang pernah dilumpuhkan pasca pengenalan ROS, 1960an.

Cadangan tersebut juga telah ditolak kerana bimbang timbul kekeliruan antara PKPM dan PKPIM (Persatuan kebangsaan Pelajar Islam Malaysia).

Ketiga, nama penubuhan tersebut seharusnya melambangkan ciri-ciri tersendiri, jauh dari pengaruh sejarah dan bukan untuk mengfungsikan mana-mana pertubuhan mahasiswa yang telah mati dalam sejarah panjang aktivistisme mahasiswa Malaysia.

Akhirnya, nama Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) telah dipersetujui bersama. Solidariti melambangkan kebersamaan pelbagai pertubuhan mahasiswa walaupun masing-masing mempunyai idealisme dan prinsip perjuangan tersendiri/masing-masing.

Mahasiswa Malaysia mengukuhkan solidariti ini kerana pergerakkannya benar-benar melambangkan wajah sebenar generasi baru Malaysia (pasca merdeka) – anti-rasis, menjunjung lunas demokrasi sebagaimana yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan; dan komited dengan perjuangan hak asasi manusia sejagat.

SMM pada ketika itu telah dianggotai oleh Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS), Badan Bertindak Mahasiswa Negara (BBMN), Malaysian Youth and Student Democratic Movement (DEMA), Food Not Bomb (BNB), Independent Student Resource And Legal Trainning Centre (ISREC), Universiti Bangsa Utama (UBU), New Era College Anti-War Committee dan REACTIVE. Sdr. Mohd Khoirol Anuar Mat Zuki merupakan Pengerusi pertama SMM pada ketika itu.

Pada 9 Macrh 2004 menyaksikan parisipasi terbuka SMM apabila pertubuhan tersebut telah mengeluarkan Manifesti Mahasiswa Malaysia Sempena PRU Ke-11 sebanyak lebih 20, 000 keping di peringkat nasional.

Penyebaran risalah ini memberi isyarat serius kepada pihak kerajaan Malaysia, parti-parti politik dan institusi kerajaan sendiri khususnya Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR) dan Badan Pencegah Rahsuah (BPR) agar peduli dan memastikan PRU ke-11 ini lebih demokratik dan adil berbanding PRU-PRU sebelumnya.

Penyebaran manifesto ini seolah-olah mengulangi sejarah klasik aktivisme mahasiswa pada penghujung era 1960-an.

Selain itu, SMM juga turut melancarkan demontrasi aman di depan Kedutaan Amerika Syarikat (AS) pada 14 Mei 2004 demi memprotes pencerobohan AS ke atas Iraq dan pelanggaran hak asasi manusia ke atas tawanan perang di Penjara Abu Gharib.

SMM juga sangat peduli dengan aktivisme mahasiswa di peringkat kampus. Antara aksi mahasiswa demi memelihara aktivisme mahasiswa dikampus termasuk perlancaran berkempen untuk menuntut Pilihanraya Kampus(PRK) yang bebas dan adil pada sesi pemilihan MPP sesi 2003/2004.

SMM telah menghantar memorandum berkenaan kes salahlaku oleh pihak berkuasa universiti pada sesi pemilihan sebelumnya kepada Surahanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) pada 12 Ogos 2004.

Di samping itu, SMM juga telah menganjurkan suatu persidangan nasional untuk membentuk resolusi yang konkrit berkenaan kempen ini pada 13 Ogos 2004.

Suatu perjumpaan antara Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan SMM pada 8 September 2004 untuk meminta agar KPT menyiasat kes salahlaku yang melibatkan pihak berkuasa universiti di seluruh IPT.

Deligasi SMM ini telah disertai oleh lebih 50 pemimpin mahasiswa dari pelbagai pertubuhan mahasiswa.

Walaupun aktivisme SMM tidak berjaya mewujudkan kondisi demokratik dan adil dalam pilihanraya kampus sesi akademik 2003/2004, aktivisme SMM ini sedikit-banyaknya berjaya mengembangkan gelombang kesedaran dan banyak isu selepas PRK tersebut di peringkat nasional secara bersama dan kolektif.

Pasca Pilihanraya Kampus 2004, SMM telah mengumpulkan rekod-rekod penyalahgunaan kuasa dan perlanggaran hak asasi manusia yang berlaku di seluruh IPT.

Hasil daripada penyelidikan tersebut, didapati lebih 50 mahasiswa telah dizalimi di bawah AUKU sejak tahun 2000 hingga September Jun 2004.

Bertitik tolak pada hakikat ini, SMM telah mendesak SUHAKAM untuk menangani pencabulan hak asasi manusia di peringkat kampus.

Dalam pertemuan yang berlangsung pada 8 Jun 2004 di Pejabat SUHAKAM tersebut, salah seorang Persuruhjaya SUHAKAM telah memberi akuan untuk menangani isu ini secara serius.

Selepas selesai pertemuan SMM-SUHAKAM tersebut, SMM telah mengadakan kenyataan akhbar. Dalam peristiwa bersejarah tersebut, SMM telah mengisytiharkan tahun 2004 merupakan Tahun Gelap Mahasiswa Malaysia.

Bersempena tarikh pengisytiharan tersebut, 8 Jun setiap tahun dijadikan sebagai “Hari Hak Mahasiswa Malaysia” atau Student Right Day demi memperingati kezaliman yang menimpai mahasiswa-mahasiswa Malaysia sejak AUKU diperkenalkan.

Sesungguhnya, aktivitisme Mahasiswa Malaysia melalui SMM masih berlangsung dengan pro aktif sehingga kini terutama menjelang Pilihanraya Kampus (PRK). SMM bercita-cita menjadikan PRK saban tahun bebas dan demokratik; agar PRK tersebut menjadi model pada sistem demokrasi Malaysia kelak.

Semoga aktivis-aktivis mahasiswa di peringkat Malaysia-Utara meneladani sejarah unik penubuhan dan perjalanan SMM ini.

Perbezaan idealisme perjuangan yang ada dalam setiap pertubuhan seharusnya dipelihara. Namun, pertubuhan-pertubuhan tersebut seharusnya mencari titik persamaan untuk digarapkan secara bersama.

Biar banyak pertubuhan yang lantang dalam memperjuangkan idealisme Mahasiswa dan isu-isu yang melibatkan kepentingan generasi Muda di Malaysia. We Unite for Students’ Agenda

-END

copyright@http://zainulfaqar.wordpress.com/2008/03/22/smm-sejarah-dan-iktibar/

0 Responses