Showing posts with label ISU SEMASA MAHASISWA. Show all posts
Showing posts with label ISU SEMASA MAHASISWA. Show all posts

Biro Tata Negara peruntuh negara?

Ketua Pemuda PAS, Salahuddin Ayub mendedahkan bahawa beliau mendengar sendiri penceramah dalam latihan Biro Tatanegara (BTN) memfitnahkan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang sebagai anasir subversif dan pengkhianat negara.

“Saya mendengar sendiri penceramahnya menuduh Tuan Guru, (Datuk Seri) Anwar (Ibrahim) dan (Lim) Kit Siang sebagai sebagai anasir subversif dan pengkhianat negara,” kata beliau. Beliau juga membangkitkan tentang tindakan BTN mengapi-apikan isu perkauman di dalam modul yang mereka kendalikan.

Jika benar dakwaan yang disebutkan oleh saudara Salahuddin itu, maka ia adalah satu gambaran yang amat jelek dan menyedihkan. BTN telah kelumpuhan fungsi yang sepatutnya dimainkan. BTN sepatutnya menjadi agensi kerajaan yang berperanan untuk membina kesedaran yang tinggi tentang perpaduan di kalangan rakyat. Bukannya membuat fitnah membabi buta dan bukan juga menjadi alat pihak-pihak tertentu yang mengejar keuntungan politik.

Jika disoroti sejarah BTN yang ditubuhkan pada tahun 1975, BTN sebenarnya mempunyai peranan yang cukup penting dalam membina negara dari sudut moral dan jatidiri rakyatnya.

Pada tahun 1970-an, semasa program belia, fungsi Biro Tatanegara (BTN) ketika itu ialah mengawasi kegiatan pertubuhan mahasiswa dan belia bagi memastikan mereka bertindak selaras dengan kehendak dan aspirasi negara.

Pada tahun 1981, selaras dengan keputusan Kerajaan, fungsi BTN telah diperluaskan untuk memupuk semangat patriotisme dan cintakan negara serta meningkatkan semangat keIslaman di kalangan semua lapisan masyarakat termasuk belia, pelajar, kakitangan kerajaan dan sektor swasta.

Antara lagu yang sering dinyanyikan dalam kursus BTN ialah lagu Warisan. Peserta dibimbing untuk memahami perkara yang tersurat dan tersirat dalam lagu tersebut. Meskipun kelihatan semangat kemelayuan yang ketara dalam lagu tersebut, namun objektifnya ialah bagi mengeluarkan orang Melayu daripada kancah kemiskinan dan akhirnya mencapai matlamat utamanya iaitu perpaduan kaum.

Hal ini adalah selari dengan matlamat Dasar Ekonomi Baru (DEB) iaitu membenteras kemiskinan tanpa mengira kaum dan merapatkan jurang ekonomi antara kaum di Malaysia. Kerajaan amat sedar bahawa perbezaan taraf ekonomi dan sosial antara kaum di Malaysia adalah penyebab utama berlakunya peristiwa berdarah 13 Mei 1969.

Seterusnya pada November 1986, aktiviti BTN diperjelas dan diperkembangkan kepada melatih pemimpin dan bakal pemimpin supaya mereka mendukung usaha-usaha pembangunan dalam beberapa bidang seperti agama, sosial, politik, ekonomi dan pendidikan.

Pada tahun 1992, Jawatankuasa Penyelaras Latihan yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri telah memutuskan BTN melaksanakan Program Bina Negara yang melibatkan penganjuran kursus, seminar dan aktiviti yang bercirikan latihan perubahan sikap. Program Bina Negara telah dilancarkan oleh YAB Perdana Menteri serentak dengan Kursus Bina Negara 1 yang diadakan pada 1 hingga 4 Januari 1992.

Penyertaan dalam Kursus BTN adalah wajib untuk semua pelajar yang mendapat biasiswa kerajaan untuk ke luar negeri. Tujuan kursus tersebut adalah untuk menyemai semangat kenegaraan di kalangan pelajar tersebut agar terus bersikap patriotik ketika di luar negeri.

Namun begitu, timbul banyak aduan daripada peserta kursus tersebut (terutamanya yang berketurunan bangsa minoriti) bahawa terdapat jurulatih BTN yang menyebarkan idealogi yang bersifat perkauman, hinggakan ke tahap menimbulkan kebencian terhadap kaum-kaum minoriti di Malaysia.

Saya juga pernah diprovok dengan kandungan modul-modul sebegitu. Intipati ceramah akan dimulai dengan kepentingan untuk memahami sejarah kependudukan bangsa Melayu, kemudian keadaan anak bangsa Melayu yang masih mundur, kemudian diceritakan tentang kesungguhan pemimpin-pemimpin Melayu dalam parti pemerintah yang gigih membangunkan bangsa dan negara..

…dan kemudian dibilas dengan hentaman dan kejian terhadap pemimpin-pemimpin Melayu dan bukan Melayu yang berada di pihak oposisi. Disedapkan cerita dengan tuduhan subversif, hubungan dengan pihak Yahudi dan sebagainya.

Menjadi persoalan, apakah sebenarnya agenda BTN diwujudkan?Apakah mahu membangunkan negara atau MERUNTUHKAN negara?

———

*Penulis ialah Presiden Economics Student Leaders Council (ECONS), sebuah badan pemikir dan NGO bebas terutamanya dalam isu-isu sosio-ekonomi negara, mengembangkan pemikiran kritis dalam politik dan ekonomi di Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran Universiti Malaya. Blog Pencak Bicara MHM kini menjadi ruang analisis dan perkongsian beliau.

















SEKONYONG-konyong sekumpulan mahasiswa sebuah institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) yang menggelarkan identiti mereka sebagai Gerakan Mahasiswa Sedar (GMS) berarak, berkumpul dan berdemontrasi menuntut apa yang didakwa hak mereka. Sebilangan kecil mahasiswa Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) berdemonstrasi menuntut pengurusan universiti menurunkan kadar yuran berasaskan andaian universiti menaikkan kadar harga yuran 50 peratus sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Riuh-rendah universiti akibat keletah anak-anak muda ini. Mereka berkumpul dan berarak dalam kumpulan kecil dalam tempoh seminggu sehingga kemuncaknya pada 6 November lalu, mereka menyuarakan bantahan rasmi – Memorandum Desak: Mendesak Pihak Pentadbiran Menurunkan Yuran Pengajian. Gelagat mereka mendapat liputan media cetak dan elektronik. Media alternatif, termasuk blog melaporkan dengan lebih meluas, termasuk umpat keji, maki dan kata nista.

Berbanding suasana era gelombang kebangkitan mahasiswa pada 1960-an dan 1970-an, perjuangan ketika itu membawa tema penting, lebih jitu membumi, menyentuh akar umbi dan hati nurani rakyat. Perjuangan mereka misalnya untuk memartabatkan bahasa Melayu, kemiskinan rakyat dan kejatuhan harga getah yang lebih dekat kepada suara nurani rakyat serta wibawa bangsa. Akibatnya, suara dan perjuangan mahasiswa dipasung dengan wujudnya Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971. Pemimpin mahasiswa ditangkap, dipenjara dan ada yang membawa diri lari ke luar negara. Pokoknya, wacana mahasiswa ketika itu mendukung satu tema dan gagasan besar memartabatkan perjuangan bangsa.

Demonstrasi terbaru oleh segelintir mahasiswa ini menampilkan citra dan wajah yang berlainan. Di sekitar persoalan dan isu yang diketengahkan, nyata perjuangan mereka menampilkan satu watak bahawa lumpuhnya wawasan dan idealisme golongan itu. Membawa isu terpinggir, remeh-temeh serta dangkal nyata membelenggu dimensi perjuangan kumpulan serpihan ini. Mengapa dikatakan demikian?

Pertama, sebuah IPTS berbeza sama sekali dengan institusi pengajian tinggi awam (IPTA). Walaupun falsafah dan fungsi IPTS adalah mendukung dasar pendidikan tinggi negara, matlamat IPTS pada akhirnya ialah kemandirian dari sudut kewangan. Berbanding IPTA yang mendapat sokongan dana dan pembiayaan kerajaan, geran penyelidikan dan inovasi serta sokongan berterusan kerajaan dalam pelbagai bentuk yang lain, IPTS secara umumnya beroperasi bersendirian, mencari duit dan mencipta laba menerusi cara yang diharuskan. Kutipan yuran pelajar adalah satu kaedah bahkan menjadi cara yang paling utama.


Menerusi kutipan yuran itulah, sesebuah IPTS menyokong kesinambungan hayatnya. Ia termasuk belanja operasi, pembayaran gaji dan emolumen, menyediakan kemudahan Pengajaran dan Pembelajaran (P&P), kemudahan prasarana, penyelenggaraan kemudahan, bayaran bil dan utiliti, perkhidmatan perpustakaan, makmal bahasa dan multimedia serta kemudahan lain yang perlu disediakan menurut piawaian sebuah institusi pengajian tinggi. Akibat perbelanjaan dan kos yang tinggi terus menerus meningkat saban tahun, maka tidaklah mengejutkan ada laporan sebelum ini menyebut sesetengah IPTS terpaksa gulung tikar.

Jangan juga dilupakan, IPTS perlu melakukan kerja promosi dan pemasaran secara bersendirian untuk mencari pelajar. IPTS tidak mempunyai pusat sehenti (one stop centre) seperti Unit Pusat Universiti (UPU) yang memproses kemasukan pelajar terus ke IPTA. Perbelanjaan dan kos bagi pengiklanan serta pemasaran adalah tinggi, kerja yang dilakukan sulit dan sukar di samping memerlukan inisiatif yang tinggi, perancangan strategik, tersusun dan komprehensif. Apatah lagi jika aktiviti pemasaran membabitkan pemasaran antarabangsa, kosnya tentulah lebih mahal dan tinggi. Semua perbelanjaan yang dilabur bagi tujuan pemasaran dan promosi belum tentu berbaloi andainya pelajar tidak datang belajar ke sesebuah IPTS.

Persaingan IPTS nyata semakin sengit. Kini ada 37 kolej universiti dan universiti swasta dan lebih 500 kolej swasta bersaing untuk merebut segmen pasaran sama. Lazimnya, pelajar yang berkelulusan cemerlang cenderung memilih atau dipilih memasuki IPTA. Baki yang lain itulah, sesetengahnya hanya berkelulusan minimum yang hendak direbut untuk memasuki IPTS.

Tanggungjawab IPTS menggalas misi besar, menampung sejumlah pelajar yang tidak mampu ditampung IPTA. Ini misi nasional. Dalam kerangka yang lebih besar, IPTS perlu bersama-sama menjayakan agenda nasional memartabatkan agenda pendidikan tinggi, memacu pertumbuhan ekonomi negara dan menjana modal insan berkualiti tinggi.

Kedua, kerana sifatnya yang perlu bersaing dan berdikari, pengurusan IPTS bertanggungjawab melapor kepada lembaga pengarah, pemegang kepentingan dan sesetengahnya langsung kepada pemegang saham. Laporan tahunan kewangan yang mencatatkan defisit tentulah meletakkan pengurusan IPTS tertekan, meresahkan, menjejaskan operasi organisasi dan kemungkinan membawa kepada tragedi gulung tikar. Perbezaan ini amat ketara dengan operasi IPTA yang dijaga rapi oleh pemegang kepentingannya, iaitu kerajaan sendiri. IPTS lebih terbuka untuk menjadi muflis jika penyata dan kedudukan kewangannya goyah.

Kenyataan dan garis penting inilah yang gagal untuk difahami kebanyakan pelajar, malah ibu bapa yang menghantar anak mereka menuntut di IPTS. Mujur agensi seperti Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) turut menyediakan dana pinjaman kepada pelajar IPTS. Pinjaman itulah yang membantu pelajar membiayai pengajian mereka selama tiga atau empat tahun di universiti. Namun, pinjaman pengajian itu tidaklah seperti biasiswa. Dengan keterbatasan PTPTN yang terpaksa memikul tanggungjawab sosial begitu besar, ia tentulah tidak berupaya menyediakan jumlah pinjaman yang besar kepada setiap pelajar. PTPTN turut bertanggungjawab menaja pelajar IPTA.

Maka, sebarang tuntutan untuk menaikkan kadar pinjaman adalah tertakluk sepenuhnya kepada budi bicara dan kuasa PTPTN, bukan pengusaha IPTS. Sekali lagi, bayangkan senario buruk jika PTPTN menutup terus saluran penyediaan dana pinjaman kepada pelajar IPTS. Sesebuah IPTS memang bergantung kepada komitmen sebuah agensi besar seperti PTPTN kerana hampir 70 hingga 80 peratus pelajarnya bergantung kepada dana pinjaman berkenaan.


Dana pinjaman yang diterima pelajar diguna membayar yuran pengajian bukanlah mutlak sepenuhnya masuk ke kantung kewangan universiti. Sebahagian dana itu dipulangkan bagi kepentingan pelajar, termasuk penyediaan kemudahan P&P, kemudahan dan prasarana. IPTS bukanlah organisasi tamak untuk mencipta keuntungan berlipat ganda. Sejak beberapa tahun beroperasi IPTS terpaksa ditampung menerusi dana asnaf fisabilillah disalurkan syarikat induk Majlis Agama Islam Selangor (Mais) dalam bentuk pembiayaan geran tahunan untuk membiayai gaji dan emolumen kakitangan. Hakikat ini tidaklah difahami oleh kumpulan serpihan pelajar yang berdemonstrasi menuntut penurunan harga yuran pengajian.

Ditelan mati emak, diluah mati bapa. Pepatah ini sesuai untuk menggambarkan IPTS yang berada dalam kedudukan serba salah. Melayan dan menerima sepenuhnya tuntutan pelajar agar menurunkan yuran pengajian pada analisis akhirnya pasti menjejaskan operasi pengurusan. Menolak tuntutan itu pastilah meletakkan pengurusan ditohmah kononnya mengetepikan prinsip keadilan, tamak, boros dan sebarang kutukan lain bukan saja oleh pelajar berkepentingan sempit seperti GMS, tetapi mungkin sesetengah ibu bapa yang tidak memahami situasi sebenar perjalanan operasi sesebuah IPTS.

Jika dibiarkan perangai dan gelagat kelakuan anak muda ini, ia ibarat kaduk naik junjung, ular lidi menjadi naga. Kebebasan bukanlah mutlak kerana di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung. Mereka yang menebar angin pastilah menuai badai. Tindakan pelajar berhimpun secara tidak bertanggungjawab perlu menerima hukuman setimpal mengikut hukum dan ketetapan peraturan undang-undang. Mereka menjejaskan sebuah kehidupan kampus yang harmoni. KUIS bermula sejak 1995 sebagai sebuah kolej, sebuah entiti yang kecil, serba sederhana, dan menumpang premis di sebuah sekolah di Shah Alam. Hanya pada 2002, KUIS berpindah ke kampus tetap di Bandar Seri Putra, bangunan yang dibina hasil inisiatif kerajaan Selangor ketika itu.

Pada 2004, KUIS dinaik taraf sebagai sebuah Kolej Universiti menerusi sedikit keberanian dan iltizam untuk turut sama memacu agenda pendidikan tinggi negara. Kini ia dalam proses permohonan untuk dinaik taraf sebagai sebuah universiti penuh.

Segelintir ahli GMS ini menampilkan wacana tohor, serba dangkal dan minda terkepung apabila menggerakkan segelintir mahasiswa untuk berdemonstrasi. Ibarat meludah ke langit, terkena batang hidung sendiri, menepuk air di dulang terpercik ke muka sendiri. Kejahilan adalah kezaliman. Agenda perjuangan kumpulan serpihan GMS hambar, kosong, tidak bermaya, tidak langsung berguna dan bermakna.

—————-

*Penulis adalah Timbalan Rektor Pembangunan Korporat dan Pengantarabangsaan Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS). Tulisan ini pertama kali disiarkan di akhbar dalam talian Berita Harian

Bila Mahasiswa Berfikir...


sumber:www.mahasiswakini.com
Oleh : Raihan Ishak*

Wujudkah DAKWAH vs POLITIK KAMPUS?

Secara amnya, bila berbicara hal demokrasi dalam pilitik kampus, rata-rata mahasiswa akan melihat akan kualiti dan kredibiliti sesebuah parti politik kampus tersebut sebelum mendukung dan mengangkat parti tersebut sebagai pilihan. Menyebut pula hal kualiti dan kredibiliti parti, sudah pasti itu adalah transaksi gambaran dalaman dan persona-persona yang mendukung kuat dan menjadi pemimpin di dalam parti tersebut.


Merujuk hal berikut, peribadi-peribadi yang berada di dalam sesebuah parti itulah sebenarnya menjadi pokok pandang dan tauladan yang mampu memberikan pengikut dan simpatisannya (penyokong) sentiasa menyakini karisma dan kemampuan barisan pimpinan untuk memimpin tunjang visi dan misi parti pro-islami tersebut.


Tarbiyah siyasah yang bermakna pendidikan politik adalah merupakan hal yang sangat penting untuk difahami oleh setiap barisan pimpinan parti pro-Islam di kancah politik kampus. Ini kerana pemahaman politik yang difahami bukanlah bermakna hanya rencah ilmu politik kampus umum semata iaitu untuk memperoleh kuasa pimpinan dan mempertahan kekuasaan . Akan tetapi, berpolitik kampus di sini ialah untuk menegakkan nilai-nilai kebenaran ilahiah dan memperjuangkan kepentingan dan maslahat masyarakat kampus. Berkuasa untuk melayani ummat mahasiswa dan memimpin untuk memperbaiki sistem yang tidak berpihak kepada nilai-nilai kebaikan dan kebenaran. Itulah lahang yang menjadi misi sesebuah parti pro-Islam di dalam kampus sesebuah universiti.


Dakwah, satu ayat yang membawa erti sangat besar malah satu ketika mendengar sahaja sudah membuat sesetengah pihak itu fobia dan sensitif. Dakwah yang bertujuan menyeru manusia untuk kembali kepada nilai-nilai Islam secara komprehensif bukanlah perkara yang asing di dalam kamus perjuangan parti pro-islami malah penyeruan ke arah pembaikan sahsiah, intelek, maslahat fizikal juga merupakan salah satu jahan kepada dakwah. Hal ini tidak memdeskriminasikan antara politik kampus dan dakwah bahkan asas dan misi sesebuah parti pro-islam itu adalah dakwah itu sendiri yang mengajak ke arah pembaikan dari segala aspek kehidupan mahasiswa baik dari hak kerakyatan mahasiwa mahupun hak pembaikan dalaman peribadi seorang mahasiswa tersebut.


Sehubungan dengan itu, memastikan kejayaan misi sesebuah parti pro-Islam itu adalah
suatu perjuangan yang sangat sukar dan memerlukan strategi tertentu demi untuk melihat akan kejayaan yang hakiki iatu kejayaan untuk melihat kebenaran dan kebaikan itu benar-benar termaktub di dalam wilayah kampus tertentu.

Mari kita melihat dasar dan asas kemenangan sesebuah parti itu, selain dari tahap intelek, peduli ummah, kualiti karismatik pemimpin, dan segala macam perancangan pembaikan maslahat, perlu diteliti juga tahap keruhanian dan keimanan sang pemimpin. Kembali kepada sejarah Islam semula. Di penghujung tahun 12Hijrah, Abu Bakar telah mengirimkan pasukan untuk membebaskan negeri-negeri Syam dari genggaman Romawi. Amr bin Ash r.a dipilih sebagai panglimanya. Pada perang tersebut, jumlah pasukan Islam 40 000 orang, sedang jumlah pasukan Romawi adalah 200 000 orang. Skala pembandingannya adalah satu perlima. Namun akhirnya, kaum muslimin juga yang berjaya mengalahkan mereka. Jumlah yang tak seimbang namun pasukan yang sikit itulah yang mampu menumbangkan pasukan yang lima kali ganda lebih banyak. Apakah penyebabnya?…..adakah pertolongan Allah itu datang tanpa mendasari juga kepada keimanan para prajurit2 Islam tersebut? Kita telah yakin terhadap keimanan para sahabat, yang tidak mampu dibandingkan dengan keimanan manusia di abad mana pun.


Terhadap ibadah mereka, kita juga tidak ragu. Kisah-kisah yang menakjubkan tentang peribadi-peribadi yang bekerja kerana Allah itu, tidak dapat dinafikan pada siang hari mereka bersemangat waja di dalam medan pertempuran dan menunggang kuda
walaupun pada malam hari mereka giat bersama Tuhan mereka.


Seorang pendakwah di bumi mesir, Syeikh Juma’ah Amin berkomentar pada salah satu ceramahnya
“ mereka mampu menjadi para penunggang kuda di siang hari kerana mereka telah terlebih dahulu menjadi rahib-rahib di malam harinya” .


Itulah kekuatan yang Allah berikan pada peribadi-peribadi tersebut, atas keimanan dan hubungan yang dekat dengan Allah itulah, DIA telah memberikan kemenangan dakwah kepada mereka dan mereka mampu untuk bekerja kepada Allah. Malah atas dasar keimanan mereka itu juga maka tertegaknya agama Islam yang kita anuti sekarang ini, tersebarnya hingga ke tanah Malaysia malah di mana-mana sahaja…..dakwah Islam itu menjadi sesuatu yang luas dan menjadi misi utama hidup mereka sekalipun dilemparkan di bumi asing …dan hal kekuatan perasaan ini takkan hadir tanpa didasari kepada keimanan dan keikhlasan amal kepada Allah..


Subhanallah, itu mungkin alkisah perjuangan para sahabat Rasulullah, lihat sahaja Rasulullah (juga seorang politikus), bukan setakat menangis di malam hari malah tumit kakinya diriwayatkan pecah lantaran kerapnya baginda bangun malam memohon keampunan dan pertolongan dari Allah swt. Mungkin ada yang beranggapan peristiwa itu mungkin terlalu jauh dari era kotemporari kita sekarang, sudah terlalu lapuk bentuk dan perjuangan yang dibawa Rasulullah bersama sahabat. Ya mungkin, tetapi ingat iman, ikhlas, semangat dan amal takkan pernah lapuk dek zaman malah jika mahu dibandingkan kita dengan mereka, seumpama berjuta hektar terlalu jauh kualiti dalaman berbanding dengan kita yang hidupannya telah divirusi oleh simptom-simpton virus hedonisme, virus keselesaan, virus hiburan melampau, virus asyikan cinta berlainan jantina hingga menjadi barah yang sukar diubati.


Namun, sejarah beberapa dekat lalu turut membuktikan. Kehebatan perjuangan suci Muhammad alFatih pada zaman 1400-an tak dapat dinafikan baik dari orang barat mahupun muslim. Terlatih dengan kehidupan yang sederhana kemudian dididik dengan ilmu seimbang ukhrawi dan duniawi. Jelas nyata memberikan buah penghasilan yang begitu besar di mata Islam. Tertawannya kota Konstantinopel itu bukanlah suatu kejayaan biasa tetapi satu kegemilangan yang luar biasa yang akhirnya setelah 800 tahun barulah ungkapan hadith Rasulullah tentang Konstantinopel menjadi realiti.


Jika diperhalusi taktik dan strategi yang digunakan oleh baginda tuan Muhammad al Fatih, jelas kebijakan intelek menjadi sumber kejayaan namun jauh dari sudut pandangan telanjang mata manusia, baginda bukanlah calang-calang orang di hadapan Allah ta’ala. Keimanannya jelas lebih hebat dari kader tenteranya, ibadahnya jauh lebih biasa yang dilakukan oleh peorangan ketika zamannya itu. Lihat, masih releven kisah Muhammad alFateh dengan kita walau angka perbandingan waktu telah mencapai kepada 600 tahun namun sikap dan unsur dalaman masih tetap releven biar di era mana sekalipun.


Konklusi dari semua ini, politik dan dakwah adalah sesuatu yang tidak dapat dipisahkan istilahnya dari kaca mata parti pro-islam. Keberhasilan dan kesuksesan berpolitik atau jihad siyasi ini harus berimpak kepada dimensi kehidupan dunia lahiriah dan fikrah mahasiwa. Yang berhujung pangkal kepada pencerdasan anak bangsa dan percetakan generasi rabbani di dalam universiti dari pelbagai aspek pandangan, baik dari aspek sosial budaya, pemikiran, moral dan hak-hak kerakyatan universiti.


Ia harus selaras juga dengan cara mewarnai suasana kampus itu dengan suasana yang cantik hakiki dan sembuh dari penyakit-penyakit virus yang disebutkan sebelum ini. Kerana tiadanya penciptaan ubat dari sang penguasa yang baik, orang bawahan akan terus selesa dengan keadaan yang sedia ada, dan orang bawahan hanya akan mampu bertindak sewajar limitasi akta. Jadi, marilah kita menilai tahap keadaan diri masing-masing. Transaksi kejayaan sesebuah parti bukan hanya kepada kecekapan dan ruhaniah barisan pemimpin sahaja tetapi juga barisan penyokong yang pastinya terdorong dari revolusi yang dilakukan pihak pucuk pimpinan. Wallahu ‘alam.



Tahap pemikiran mahasiswa seharusnya lebih ligat berfikir dan sentiasa
think out of the box..
..

kalau, setuju dengan kenyataan ini..adakah kita tergolong di dalam golongan ini??